SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-80 HARI TRADISI KESELAMATAN AWAM RAKYAT VIETNAM

16 Ogos 2025

HANOI, VIETNAM, 16 Ogos 2025 – YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri telah menghadiri sambutan Ulang Tahun ke-80 Hari Tradisi Keselamatan Awam Rakyat Vietnam atas undangan TYT Jeneral Luong Tam Quang, Menteri Keselamatan Awam Vietnam. Acara utama dijadualkan berlangsung pada 17 Ogos 2025.

Rangkaian acara dimulakan dengan kunjungan hormat kepada TYT To Lam, Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam. Pertemuan tersebut turut dihadiri ketua-ketua delegasi bertaraf menteri daripada Cuba, Laos dan Myanmar bertujuan menzahirkan sokongan antarabangsa kepada usaha Vietnam bagi memperkukuh keselamatan awam.

Sejurus selepas itu, YB Menteri Dalam Negeri bersama dengan ketua-ketua delegasi menghadiri pertemuan berkumpulan dengan TYT Jeneral Luong Tam Quang, Menteri Keselamatan Awam Vietnam. Sesi ini menghimpunkan 17 orang ketua delegasi, termasuk wakil daripada Brunei, Cuba, China, Indonesia, Mongolia dan Russia, sekali gus menjadi pelantar penting bagi memperkukuh jaringan kerjasama serantau dan antarabangsa.

Dalam pertemuan dua hala antara kedua-dua menteri, Malaysia dan Vietnam mencapai persefahaman untuk segera memuktamadkan dua instrumen penting, iaitu Perjanjian Antarabangsa Pemindahan Banduan (ITOP) serta Perjanjian Pencegahan Jenayah Rentas Sempadan (TNC). Kedua-dua perjanjian ini dijangka memperkukuh kerjasama praktikal, mempercepat urusan antara pihak berkuasa, serta meningkatkan perlindungan rakyat daripada ancaman jenayah transnasional.

Menjelang sambutan rasmi, YB Menteri Dalam Negeri turut menghadiri Majlis Makan Malam Gala anjuran Kementerian Keselamatan Awam Vietnam yang meraikan para tetamu antarabangsa dalam suasana mesra dan meriah.

Delegasi Malaysia pada sambutan kali ini turut disertai oleh YBhg. Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), bersama dengan pegawai-pegawai daripada Bahagian Antarabangsa, Kementerian Dalam Negeri.

MADANIBekerja #RancakkanMADANI #MalaysiaMadani #KDNReformasiMADANI #KDNYakinMADANI

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *