Kastam Perlis gagalkan taktik penyeludup guna “beacon” sebagai transit, rampas 30kg ganja

Oleh: Sholina Osman
18 OGOS 2025

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis mengesan taktik baharu penyeludup apabila menggunakan “beacon” atau rumah api sebagai tempat transit sekaligus berjaya merampas 30 kilogram (kg) ganja bernilai RM2,940,000.00.

Pengarahnya Ismail Hashim berkata kejadian pertama yang menggunakan “beacon” ini telah disedari oleh sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis semasa melakukan pemeriksaan di kawasan perairan pintu masuk Kuala Perlis.

Beliau berkata pada 7 Ogos pada pukul lebih kurang 1.00 pagi, pasukan ini telah menjumpai empat bungkusan guni yang ditinggalkan di atas “beacon” tersebut.

BUNGKUSAN PLASTIK LUT SINAR

Beliau berkata hasil pemeriksaan rapi terhadap bungkusan guni tersebut mendapati terdapat 146 bungkusan plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis kanabis.

“Berat keseluruhan komoditi tersebut dianggarkan sebanyak 30 kilogram dan bernilai RM2,940,000.00,” kata beliau pada sidang media di pejabat Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis hari ini (18 Ogos).

Hashim berkata kes ini masih dalam siasatan.

Beliau menambah ia disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana
jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, boleh juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *