





18 Ogos 2025
PUTRAJAYA – Seramai 46 pelajar dan pensyarah Kolej Vokasional Ampangan diberi pendedahan mengenai informasi antirasuah sempena lawatan akademik ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, hari ini.
Rata-rata pelajar yang hadir terdiri daripada pelajar Diploma Elektrik, Elektronik, Pembinaan dan Pemesinan Industri tahun 1 dan 2 menzahirkan rasa teruja kerana julung kalinya mereka mengetahui secara dekat mengenai skop dan bidang tugas SPRM dalam usaha membasmi rasuah.
Pensyarah pengiring, Puan Husna Abdul Rahim berkata, lawatan sebegini bukan sahaja memberi pendedahan kepada yang hadir, bahkan turut memberi motivasi kepada pelajar untuk menjadi individu yang berintegriti.
Setiba di perkarangan Ibu Pejabat SPRM, peserta rombongan diberi taklimat keselamatan sebelum dibawa melawat beberapa fasiliti SPRM antaranya konti MACCfm, fasiliti tingkat 7, serta bahan pameran Penmas di Aras 11 sebelum sesi taklimat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 12.
Lawatan ini diakhiri dengan taklimat antirasuah yang disampaikan oleh KPKPs Muhammad Zamani bin Othman yang menyentuh mengenai bidang tugas SPRM serta sesi soal jawab berhubung isu dan persoalan terkait isu-isu rasuah dan SPRM.
