







Oleh: Sholina Osman
Foto FB Kementerian Komunikasi
22 OGOS 2025
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini menerima sumbangan penajaan berjumlah RM21.87 juta daripada 113 rakan strategik kementeriannya sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan HKHM 2025 Fahmi menerima sumbangan penajaan itu dari Rakan Strategik Platinum, Emas, Perak dan Gangsa berjumlah RM21.87 juta iaitu RM1.9 juta tajaan dalam bentuk wang tunai dan RM19.97 juta tajaan dalam bentuk “in-kind” barangan/perkhidmatan.
“Semua tajaan yang diterima sama ada dalam bentuk wang tunai mahupun “in-kind” barangan/perkhidmatan akan digunakan bagi memeriahkan sambutan Bulan
Kebangsaan khususnya sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos 2025 dan sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 16 September 2025,” kata kenyataan media Jawatankuasa Penajaan HKHM 2025 hari ini (22 Ogos).
MEMBUKTIKAN KERJASAMA ERAT
Majlis ini membuktikan kerjasama erat sektor korporat, swasta, badan berkanun, badan bukan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia bersama-sama kerajaan bagi menyemarakkan sambutan HKHM 2025 tanpa mengira agama, bangsa serta umur sama ada di peringkat komuniti, organisasi mahupun nasional.
Kementerian Komunikasi turut merakamkan ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih atas sumbangan luar biasa yang diterima daripada rakan strategik sempena
HKHM pada tahun ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan rakan-rakan strategik. – JM
