
Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
22 OGOS 2025
Malaysia sedang menimbang untuk menubuhkan sebuah Kementerian Undang-Undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu,
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu juga akan membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam usaha memajukan kedaulatan undang-undang, khususnya dengan negara anggota ASEAN.
“Dengan menyelaraskan diri kepada amalan terbaik jiran kita, Malaysia akan berada pada kedudukan lebih kukuh untuk membentuk sebuah tertib serantau yang lebih adil dan responsif,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Kuala Lumpur.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Timbalannya M Kulasegaran serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
SEBAGAI TEMA UTAMA
Anwar berkata Keterangkuman dan Kemampanan telah dipilih sebagai tema utama Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia, dengan menegaskan bahawa keterangkuman bermaksud undang-undang mesti memberi manfaat kepada setiap individu, setiap komuniti dan setiap generasi.
“Tidak memadai keadilan hanya wujud dalam prinsip. la mesti dapat dirasai dalam kehidupan masyarakat kita. Undang-undang harus memperkasa dan melindungi, bukan menakut-nakutkan atau mengecualikan,” katanya.
Anwar turut menekankan kepentingan kemampanan dalam membina sistem serta institusi undang-undang yang mampu bertahan serta relevan sepanjang zaman.
“Kekuatan sebenar sesebuah kerajaan tidak terletak pada sejauh mana kuasa yang dimiliki, tetapi pada integriti institusinya, keadilan dalam tadbir urus, serta keyakinan yang diperoleh daripada rakyat,” katanya. – JM
