Polis terima laporan pelajar dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah di Sabak Bernam

Oleh: Sholina Osman
26 OGOS 2025

Polis Selangor mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian melibatkan seorang pelajar Tingkatan Tiga yang terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.

Ketua Polisnya, Datuk Shazeli Kahar pihaknya telah membuka satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 sejurus menerima laporan.

“Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan sekelilingnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini (26 Ogos).

Beliau berkata buat masa ini pihak polis sedang mengumpul keterangan daripada saksi-saksi dan individu yang berkaitan

WUJUDNYA UNSUR BULI

“Sebarang spekulasi berhubung punca kejadian termasuk dakwaan wujudnya unsur buli adalah terlalu awal untuk disahkan,” katanya.

Pihak polis menyeru orang ramai agar tidak membuat andaian yang boleh menganggu proses siasatan atau menjejaskan emosi keluarga mangsa.

Polis Selangor komited untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambah beliau.

SELEPAS DIDAKWA TERJATUH

Terdahulu, seorang pelajar lelaki dilaporkan kritikal selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga di sebuah sekolah di Sabak Bernam dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 2 pagi tadi.

Menurut laporan media, keluarga mangsa mendakwa kejadian berkenaan mempunyai unsur buli berdasarkan kecederaan patah pada bahagian rahang, pendarahan otak dan kecederaan paru-paru.

Mangsa kini dilaporkan ditidurkan di hospital dan masih dalam pemantauan rapi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *