
Wartawan JM
30 OGOS 2025
Kemerdekaan Malaysia telah lebih setengah abad, justeru cara kita berfikir juga seharusnya bergerak sesuai dengan zaman.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usah terus menanam bibit prasangka kaum yang berlebihan, terutamanya melibatkan pembaharuan semula kawasan-kawasan perumahan di bandar-bandar kerana yang akan menerima akibatnya adalah fabrik sosial masyarakat.
“Kita juga mengakui dan sedia maklum bahawa tidak ada undang-undang yang sempurna, termasuk rancangan memperbaharui bandar,” kata beliau dalam hantaran di FB.
“Lantas, di Parlimen saya tegaskan bahawa kita terbuka dan bersedia memperbaiki, menambahbaik, dan menyempurnakan tatacara agar kita dapat menangani masalah miskin bandar dan perumahan daif dengan lebih berdampak,” jelas beliau.
WACANA YANG ADA
Beliau mengambil bersikap tenang dengan wacana yang ada melibatkan akta ini.
Namun beliau menjelaskan jangan mengelirukan masyarakat dengan dakyah dan naratif perkauman.
Jika isunya adalah kadar ambang, tawarkan alternatif.
Dan sekiranya isunya melibatkan ‘gentrification’, maka usul dan bahaskannya dengan penyelesaian yang lebih terangkum.
Bukan terus-terusan menghambur kebencian kaum.
Kuasa yang ada mesti dihalakan ke arah mengangkat taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
BARISAN PENCAKAR LANGIT
“Kita lekas berbangga dengan barisan pencakar langit dan mercu tanda di sekitar kota, gedung-gedung megah mengelilingi bandar tapi sekiranya kita pejamkan mata dan bungkam kepada masalah di depan mata, maka ia adalah puncak ketidakadilan yang nyata,” tambah beliau.
Mari bersama kita semangati kemerdekaan dengan berikhtiar sebaiknya dan cari jalan yang munasabah agar dapat kita natijahkan keadilan dan kemakmuran bersama. – JM
