Lebih 100,000 pengunjung meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
31 OGOS 2025

Lebih 100,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bertempat di Dataran Putrajaya yang
mencerminkan semangat patriotik rakyat tidak pernah luntur.

Kenyataan media Jawatankuasa Media dan Publisiti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 memaklumkan sambutan gilang-gemilang ini diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Raja Zarith Sofiah; Perdana Menteri dan isteri; Timbalan-timbalan Perdana Menteri; barisan Menteri Kabinet; Duta serta Konsulat Asing di Malaysia.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda berdua, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris
Iskandar Sultan Ibrahim.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, sambutan tahun ini
menekankan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat diberi perhatian utama.

MENEKANKAN NILAI PERPADUAN

Ini sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai
perpaduan, kesejahteraan, dan kemanusiaan.

Tumpuan utama hari ini adalah acara perbarisan dan perarakan melibatkan 14,062 peserta menampilkan komponen seperti pancaragam, aset hidup dan kenderaan, serta kontinjen daripada sektor penting negara termasuk ekonomi, telekomunikasi, industri kreatif, sukan dan keselamatan.

Sambutan kali ini menampilkan kelainan menerusi penyertaan julung kali daripada Kontinjen Kepengerusian ASEAN 2025 bersempena peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta Kontinjen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Selain itu, sambutan juga disemarakkan dengan Persembahan Khas Malaysia MADANI melibatkan 1,000 peserta daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), persembahan Teres Grafik Manusia oleh 2,000 pelajar bawah koordinasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta pertunjukan “bag pipe” dan udara oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyampaikan lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *