




Wartawan JM
8 SEPT. 2025
Majlis Sejarawan Negara akan berperanan sebagai wadah wacana, pengukuh naratif kebangsaan, dan penasihat kepada kerajaan untuk memastikan sejarah terus hidup, segar dan memberi makna kepada masyarakat serta generasi muda.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata untuk benar-benar memaknakan gagasan Malaysia MADANI juga, kita tidak boleh mengabaikan sisi yang membentuk roh dan jiwa bangsa iaitu sejarah, budaya, dan nilai peradaban.
“Sejarah bukan sekadar catatan masa lalu. Ia adalah medan untuk menilai akar peradaban, mengenal kekuatan identiti, serta mengingatkan kita tentang bahaya kerakusan kuasa, kezaliman dan kepincangan sistem,” kata Anwar dalam hantaran pada FB.
SEBUAH INISIATIF PENTING
Terdahulu beliau meluncurkan Majlis Sejarawan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya yang disifatkan sebagai sebuah inisiatif penting untuk memperkukuh jati diri bangsa, menegakkan maruah negara, dan memperdalam pemahaman kita terhadap sejarah.
“Dari Ibn Khaldun yang menekankan ibrah sejarah, hingga Henri Pirenne yang menunjukkan bagaimana pertembungan Islam dan Eropah membentuk tradisi moden, kita belajar bahawa sejarah sentiasa menjadi pendorong kemajuan,” jelas beliau.
Begitu juga, kita sedar bagaimana kolonialisme telah cuba membentuk pemahaman kita melalui tokoh-tokoh seperti Stamford Raffles, Snouck Hurgronje, Macaulay dan Cromer.
MERUMUSKAN SEMULA NARATIF
Namun, tugas kita kini adalah untuk merumuskan semula naratif, dengan berpaksikan pandangan dan pengalaman bangsa sendiri.
Bahkan dalam dunia digital dan kecerdasan buatan (AI), nilai sejarah dan akhlak menjadi asas penting.
“Jika kita sekadar menyalin pandangan asing tanpa mempertahankan identiti dan warisan sendiri, kita akan hilang arah,” tegas Perdana Menteri.
Teknologi hanya akan bermakna jika ia berpaksikan nilai, budaya, bahasa dan sejarah bangsa.
TEGAK DENGAN TEKNOLOGI
“Saya tekankan bahawa tamadun tidak akan tegak dengan teknologi semata-mata,” tambah beliau.
Tamadun dibangunkan dengan budaya, dengan sejarah, dengan ketinggian ilmu serta pemikiran yang membumi.
“Justeru, MADANI menuntut kita bukan sahaja mengejar disiplin baharu, tetapi juga memperkukuh kecintaan terhadap sejarah, sastera dan budaya kerana inilah tiang seri tamadun Malaysia,” tambah Anwar. – JM
