







Oleh: Sholina Osman
21 SEPT. 2025
Para peserta delegasi International Leadership Mobility 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyambut Hari Malaysia baru-baru ini sempena Promosi Masakan Perlis yang diadakan di Restoran Mama Melaka, Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Majlis sambutan ini dipenuhkan dengan pelbagai aktiviti iaitu deklamasi puisi dan pantun patriotik oleh para peserta.
Di program tersebut Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat melancarkan majlis ini bertitah supaya menjadikan perpaduan sebagai cara hidup yang sebati dalam sanubari setiap rakyat, bukan sekadar slogan indah atau bait merdu dalam lagu.
Nilainya harus ditanam kukuh dalam setiap aspek kehidupan di rumah, di sekolah, di tempat kerja dan dalam segenap lapisan masyarakat.
RASA SALING MENGHORMATI
Sesungguhnya, perpaduan bukanlah sesuatu yang dipaksa, sebaliknya lahir daripada rasa saling menghormati, memahami, serta menghargai antara satu sama lain.
Ia bukan suatu hiasan retorik yang indah di atas kertas semata-mata, tetapi sebuah realiti yang menuntut kesungguhan dan keikhlasan.
Perpaduan hanya dapat dizahirkan melalui tindakan yang nyata, bermula dengan toleransi, kerjasama dan kesediaan untuk menerima perbezaan sebagai kekuatan, bukan kelemahan.
Apabila perpaduan dijadikan budaya hidup, masyarakat akan tampil lebih harmoni, adil dan saling melengkapi dalam menghadapi segala cabaran bersama.
TUNJANG KEKUATAN NEGARA
Lebih daripada itu, perpaduan merupakan tunjang kekuatan negara. Ia menjadi benteng kukuh yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia sebagai anak watan berjiwa besar dan berjati diri teguh.
Apabila ikatan perpaduan terjalin erat, rakyat bukan sahaja mampu memelihara keharmonian tanah air, malah berupaya mengangkat martabat bangsa di pentas dunia.
Justeru, perpaduan harus dipelihara sebagai khazanah paling berharga demi menjamin kelangsungan dan kesejahteraan generasi masa depan.
Promosi berupa ‘Kurma Daging Perlis’ itu dijayakan oleh pihak restoran yang menyajikan masakan Melayu dan Asia Nusantara itu dengan kerjasama UniMAP, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan BMC Travel bagi sama-sama mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026 dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
DIIRINGI OLEH DELEGASI
Tuanku Raja Muda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi oleh delegasi International Leadership Mobility 2025 UniMAP dan disambut oleh Pengurus Pemasaran Restoran iaitu Ibu Chisselly dan Chef Mohd Kadek.
Restoran ini beroperasi sejak tahun 1995 dan mempunyai kapasiti boleh memuatkan 70 orang. Ia di buka dari jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari dan mempunyai 3 cawangan bertempat di Wisma46 Sudirman, Telkom Landmark dan Tower Gatot Subroto, manakala di Patrajasa merupakan restoran utamanya.
Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dan Pengarah Education Malaysia di Indonesia, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri.
MISI DIPLOMATIK TERBESAR
Syed Mohamad Hasrin dalam perkembangan berkaitan memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta merupakan salah sebuah misi diplomatik terbesar Malaysia di rantau ini.
Selain Pejabat Duta, terdapat pelbagai agensi yang ditempatkan di bawah satu bumbung termasuk Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Kementerian Pertahanan,
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),
Education Malaysia Indonesia (EMI),
Kementerian Sumber Manusia (Buruh), Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), MATRADE, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN Jakarta.
Tambah beliau, kehadiran agensi-agensi ini membolehkan Kedutaan memainkan peranan komprehensif dalam memperkukuh hubungan dua hala, dari aspek politik, ekonomi, sosial, pendidikan, dan kebudayaan. – JM
