





Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
25 SEPT. 2025
Malaysia komited untuk terus menyokong aspirasi Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana keanggotaan ini bukan sahaja memperkukuh kesepaduan rantau, malah membuka ruang lebih luas untuk kerjasama ekonomi, perdagangan, pendidikan dan pembangunan teknologi.
“Seiring dengan cabaran geopolitik semasa, ASEAN memerlukan ketersalinghubungan yang lebih mantap serta penerokaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan tenaga hijau sebagai pemacu masa depan yang lebih inklusif dan lestari untuk seluruh rantau,” katanya dalam hantaran di FB.
MENYAMPAIKAN UCAPAN KHAS
Terdahulu beliau diberi penghormatan untuk menyampaikan Ucapan Khas di Parlimen Nasional Timor-Leste sempena lawatan rasmi ke negara ini.
“Dalam ucapan, saya menegaskan bahawa Parlimen adalah wadah tertinggi yang mewakili suara rakyat dan mendokong prinsip demokrasi,” katanya.
Justeru, kata Perdana Menteri institusi ini perlu dipertahankan dan diperkasakan sebaik-baiknya, sama ada di Malaysia, di Timor-Leste mahupun di mana-mana negara yang menjunjung demokrasi.
“Demokrasi berasaskan kepercayaan rakyat, dan daripada kepercayaan inilah lahirnya kestabilan sesebuah negara yang mengukuhkan peranan sebagai anggota penting dalam keluarga besar ASEAN,” kata beliau lagi. – JM
