
Wartawan JM
6 OKT. 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh reputasinya dalam bidang penyelidikan teknologi pertahanan negara apabila berjaya memperoleh Dana Penyelidikan Kementerian Pendidikan Tinggi (DP KPT) di bawah Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) Tahun 2025 bernilai RM800,000.00.
Kenyataan media Pusat Komunikasi Korporat UniMAP memaklumkan
geran tersebut diperoleh menerusi projek berimpak tinggi bertajuk “Conceptual Framework for Short-Range AESA Radar in Malaysian Operational Environment: Antenna Arrays, Propagation Dynamics and Intelligent Target Processing”, yang memberi tumpuan kepada pembangunan sistem radar AESA julat pendek berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk keperluan pertahanan negara.
Projek penyelidikan ini diterajui oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muzammil Jusoh, merangkumi tiga komponen utama — pembangunan rekabentuk AESA antena, pemodelan penyebaran gelombang RADAR dalam persekitaran tropika, serta pengecaman sasaran berasaskan AI.
Muzammil berkata di bawah rangka penyelidikan itu, tiga projek utama dirangka iaitu Projek 1 : Teknik Pembangunan rekabentuk AESA antenna dengan Julat Pendek, Projek 2: Pemodelan Empirikal Penyebaran Radar dalam Keadaan Maritim Tropika dan Projek 3 :Pengesanan dan Pengelasan Objek Pintar Menggunakan Radar AESA Berasaskan AI.
PENERBITAN BERINDEKS TINGGI
“Ketiga-tiga projek ini dijangka menghasilkan enam penerbitan berindeks tinggi (WOS/ISI & Scopus), enam pembangunan sumber manusia pelajar pascasiswazah, dan enam hak cipta (IP) melalui inovasi dalam reka bentuk antena, simulasi radar, dan algoritma kecerdasan buatan.
“Projek ini turut disokong oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Science & Technology Research Institute for Defence (STRIDE) serta menjalinkan kerjasama strategik dengan Mindmatics Sdn. Bhd., menjadikan penyelidikan ini lebih berdaya guna dalam konteks pembangunan radar nasional dan industri pertahanan tempatan,” kata beliau.
Selain Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muzammil, dua lagi penyelidik turut mengetuai subprojek di bawah rangka program LRGS ini iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Huda A. Majid (UTHM) dan Prof. Madya Ts. Dr. Zaid Omar (UTM).
Majlis penyerahan geran berkenaan telah diadakan bersempena Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia Tahun 2025, yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ir. Dr. Mohd Shukry Abdul Majid.
BERMAKNA BUAT UniMAP
Terdahulu, Zaliman berkata kejayaan itu amat bermakna buat UniMAP kerana sebelum ini, penyelidik universiti hanya berjaya memperoleh geran LRGS sebagai ketua projek di bawah universiti lain.
“Kejayaan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan UniMAP sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan radar dan komunikasi pertahanan, malah memperlihatkan peranan universiti dalam menyumbang kepada pembangunan teknologi strategik negara sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
DESKRIPSI PROJEK
Projek 1 : Teknik Pembangunan rekabentuk AESA antenna dengan Julat Pendek
Projek ini memfokuskan kepada pembangunan tatasusunan antena X-band boleh dikonfigurasi termasuk penggunaan struktur metamaterial beserta keupayaan teknologi GaN T/R bagi meningkatkan kecekapan sistem radar. Kajian ini turut menilai algoritma pembentukan pancaran (beamforming) adaptif bagi sistem Radar didarat kepada pengesanan kapal di lautan.
Projek 2: Pemodelan Empirikal Penyebaran Radar dalam Keadaan Maritim Tropika Malaysia
Projek ini mengkaji dinamika gelombang radar dalam cuaca dan persekitaran maritim tempatan dengan mengambil kira kadar hujan, kelembapan, suhu dan atmosfera. Pangkalan data radar tempatan akan dibangunkan dan disahkan melalui pengukuran lapangan di kawasan seperti Langkawi dan Kota Tinggi, sekaligus memperkukuh keupayaan ramalan radar maritim negara.
Projek 3: Pengesanan dan Pengelasan Objek Pintar Menggunakan Radar AESA Berasaskan AI.
Fokus utama projek ini ialah pembangunan sistem radar pintar yang mampu mengenal pasti sasaran maritim seperti kapal, bot dan dron dengan lebih tepat melalui model pembelajaran mendalam (deep learning) berasaskan teknologi terkini. – JM
