


Wartawan JM
11 OKT. 2025
Kementerian Komunikasi komited memperkasakan ekosistem dan kesalinghubungan komunikasi, susulan Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan media Kementerian Komunikasi memaklumkan menerima peruntukan keseluruhan hampir RM2.56 bilion daripada belanjawan kerajaan untuk tahun 2026 bagi memastikan rakyat menikmati infrastruktur komunikasi yang lebih baik, mengukuhkan nilai kenegaraan termasuk memperkasakan ekonomi jingga.
Peruntukan ini akan meliputi
RM770 juta untuk pelaksanaan projek Point of Presence (PoP); RM110 juta dalam bentuk insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa bagi penghasilan karya berkualiti tinggi di Malaysia termasuk RM10 juta untuk penerbitan kandungan kenegaraan; dan
RM10 juta dalam bentuk insentif penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa di Malaysia bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
MEMPERLUAS JARINGAN INGRASTRUKTUR
Selain itu, dalam usaha memperluas jaringan infrastruktur telekomunikasi, memperkasakan usahawan desa dan memperkukuh kesiapsiagaan bencana, kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut memperuntukkan RM3.99 bilion merangkumi RM2 bilion bagi membangunkan Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) melibatkan laluan dasar laut dari Sedili, Johor; ke Kuching dan Sibu, Sarawak; seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau, Sabah; RM780 juta untuk projek Jalinan Digital Negara Fasa 2 (JENDELA 2) bagi peluasan ke 2,700 lokasi baharu.
Sebanyak RM650 juta bagi meningkatkan ketersambungan Internet di hospital awam, klinik kesihatan, klinik ibu dan anak, klinik komuniti dan klinik desa; RM350 juta bagi tujuan memperkasakan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang memanfaatkan usahawan desa untuk meningkatkan pendapatan; dan RM210 juta untuk membangunkan Sistem Amaran Awal (EWS) bagi memperkukuh kesiapsiagaan bencana dan krisis, sekali gus mengurangkan risiko kepada nyawa serta harta benda.
MCMC juga bakal membina “Sovereign Al Cloud” dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion serta menubuhkan “Al Transformation Centre” dengan kerjasama Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan “Centre of Excellence in Ethics for Emerging Technologies” sebagai pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta Al yang peka budaya.
Kementerian Komunikasi yakin Belanjawan 2026 dapat meningkatkan lagi keterhubungan komunikasi, literasi digital serta mencambah hasil industri kreatif yang
berkualiti. – JM
