



PUTRAJAYA, 17 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus komited memperkukuh budaya antirasuah melalui pelaksanaan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) bersama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
Program dua hari yang berlangsung pada 16 hingga 17 Oktober 2025 di Bilik Latihan, MOF ini melibatkan penyertaan 35 pegawai Kumpulan Pelaksana MOF. Fokus program ini diisi dengan penilaian risiko rasuah dalam perolehan dan isu-isu yang boleh berlaku sewaktu melaksanakan perolehan. Antara isu yang dibincangkan adalah isu berkaitan campur tangan pihak berkepentingan, penerimaan hadiah semasa pelaksanaan perolehan dan kebocoran maklumat sulit jabatan. Selain itu, elemen interaktif turut diterapkan melalui pendekatan gamifikasi antirasuah yang bertujuan menguji kefahaman dan membentuk kepekaan terhadap isu rasuah dalam situasi sebenar.
Program diakhiri dengan sesi soal jawab bersama Panel SPRM iaitu Ps Muhammad Rashidie Ismail, KPKPs Mohd Rajib Bin Adam dan PKPs Muhammad Hafizi Bin Othman yang memberi ruang kepada peserta membincangkan isu integriti dan cabaran pencegahan rasuah secara terbuka. Program ini bukan sahaja memperluas kesedaran mengenai bahaya rasuah, malah menjadi platform penting dalam memperkasa kepimpinan kementerian dengan nilai-nilai integriti dan akauntabiliti, sejajar dengan aspirasi negara membina perkhidmatan awam yang telus dan berwibawa.
