

Oleh: Sholina Osman
21 OKT. 2025
Seorang pelajar lelaki akan didakwa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok (22 Oktober) atas tuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.
Perkara ini dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan media hari ini di mana suspek akan didakwa di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] kerana kesalahan membunuh.
Sebelum itu AGC telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.
“Hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap seorang pelajar lelaki yang terlibat dalam kejadian tersebut,” kata kenyataan itu lagi. – JM
