Malaysia lakar sejarah saksi Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja-Thailand – PMX

Wartawan JM
Foto: Afiq Hambali, Fath Rizal
26 OKT. 2025

Malaysia melakar sejarah apabila menjadi saksi kepada Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia disaksikan oleh beliau bersama-sama dengan Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.

“Bersyukur saya kerana ia menandakan kejayaan diplomasi ASEAN dalam menyemai keamanan dan kestabilan serantau, sebagai kesinambungan kepada gencatan senjata yang termeterai pada 28 Julai lalu di Putrajaya,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

KEPERIHATIAN RAKAN-RAKAN

Beliau menghargai keprihatinan rakan-rakan serantau dan antarabangsa yang mendukung usaha ini, termasuk Presiden Trump.

“Peranan bersama inilah yang mendorong pemimpin Kemboja dan Thailand mencapai kata sepakat serta mengambil langkah berani memilih perdamaian,” katanya.

Di hadapan Presiden Trump, juga turut tegaskan keperluan memperluas agenda keamanan ini ke wilayah lain yang masih bergolak khususnya di Gaza, agar dunia kembali berpaksikan keadilan dan kemanusiaan sejagat.

KINI SEMAKIN DIHORMATI

Perjanjian ini membuktikan bahawa suara ASEAN kini semakin dihormati sebagai jambatan perdamaian, memperlihatkan bagaimana dialog dan kesederhanaan mampu menamatkan sengketa yang berpanjangan.

Malaysia akan terus memainkan peranan aktif memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa bagi menjunjung keamanan, keadilan dan kesejahteraan bukan sekadar untuk ASEAN, tetapi untuk seluruh umat manusia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *