





Wartawan JM
Foto: Izzuddin Abd Radzak
31 OKT. 2025
Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025 terbukti sebagai pelopor yang memacu semangat keterbukaan, menggalas tanggungjawab moral dan memperkenalkan norma ekonomi global berasaskan kerjasama sukarela, bukan paksaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kini APEC sedang memupuk idea baharu yang menyentuh cabaran masa depan: pertumbuhan hijau dan kewangan mampan, transformasi digital dan keterangkuman teknologi, rantaian bekalan yang berdaya tahan, serta peralihan tenaga bersih dan keselamatan makanan.
Beliau menjelaskan semua ini seiring dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang membina ekonomi yang inklusif, berdaya tahan dan mampan demi manfaat seluruh rakyat.
SEMASA SESI INTERVENSI
Terdahulu Anwar menyampaikan Kenyataan Negara semasa sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Gyeongju, Republik Korea.
Beliau berkata kerjasama sejati menuntut penyertaan menyeluruh antara kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat, bukan untuk berkongsi kuasa tetapi berkongsi tujuan.
“APEC harus menjadi jambatan bukan sahaja bagi ekonomi Asia Pasifik, tetapi juga dalam memperluas keterlibatan dengan rantau Amerika Latin dan Afrika menuju sebuah tatanan ekonomi dunia yang lebih adil dan seimbang antara negara maju dan negara membangun (Global North dan Global South),” kata beliau.
DIALOG DAN KERJASAMA
Anwar menjelaskan sebaik selesai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, keyakinan beliau semakin teguh bahawa dialog dan kerjasama serantau bukan sekadar wajar sebaliknya suatu keperluan mendesak.
Beliau berkata Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja menjadi peringatan bahawa keamanan dan kemakmuran tidak akan kekal tanpa kepercayaan, kesabaran dan rundingan berterusan.
Justeru itu kata beliau prinsip yang sama harus diangkat dalam konteks Gaza dan Ukraine bahawa penyelesaian berasaskan dialog, bukan kekerasan, adalah satu-satunya jalan menuju keamanan yang hakiki. – JM
