







Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
15 NOV. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anak-anak Sabah supaya berpaut pada fakta agar tidak dipengaruhi naratif songsang oleh mereka yang hanya tahu berpolitik, yang gagal menyelesaikan masalah selama mereka berkuasa namun kini cuba tampil sebagai wira rakyat.
“Kita tidak bermain politik murahan; kita memperbaiki kerosakan yang mereka tinggalkan,” kata beliau.
Anwar berkata dengan perpaduan semua kaum dan semua negeri, kita bukan sahaja mempertahankan hak Sabah, tetapi turut mengangkat martabat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Terdahulu beliau hadir pada program Temu Anwar “Harapan Urang Muda Sabah” di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC),
Penampang hari ini.
“Saya menyatakan bahawa Kerajaan telah memperuntukkan RM17 bilion khusus untuk Sabah tahun ini kerana kita tidak lagi rela melihat urang Sabah terus dibelenggu masalah air, elektrik, jalan berlubang dan liputan internet yang lemah,” katanya dalam hantaran di FB.
Menyentuh isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan 40 peratus hasil, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan terhadap hak Sabah ini, malah akan memulakan rundingan pelaksanaan bersama Kerajaan Sabah bermula Isnin depan.
“Yang dirayu hanyalah tuduhan berat dalam Alasan Penghakiman terhadap semua Kerajaan Persekutuan dan Negeri sejak 1974, termasuk pemimpin Sabah yang berjasa besar,” kata beliau.
Anwar berkata Kerajaan MADANI akan menunaikan hak Sabah tanpa memperkecilkan jasa mereka yang pernah berkhidmat. – JM
