







21 November 2025
Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Afrika Selatan kerana menjadi negara benua Afrika pertama memegang tampuk Kepresidenan G20.
Ucapan tahniah itu disampaikan sewaktu PMX mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
” Saya menzahirkan ucapan tahniah kepada Afrika Selatan sebagai negara benua Afrika pertama yang memegang tampuk Kepresidenan G20. Tema “Solidarity, Equality, Sustainability” selari dengan fokus Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan penumpuan khusus kepada usaha memperkukuh daya tahan bencana, kestabilan hutang, serta pendanaan peralihan tenaga yang adil dan mampan.
” Kami turut menekuni kemajuan dan tahap hubungan dua hala susulan lawatan rasmi Presiden Ramaphosa ke Putrajaya pada Oktober yang lalu. Malaysia bersedia memuktamad dan menandatangani beberapa dokumen penting termasuk MoU Kerjasama ekonomi dan industri, kerjasama halal, pertanian, tenaga hijau, teknologi, penyelidikan, serta kerjasama pendidikan dan TVET, ” ujar PMX dalam perkongsian di laman media sosialnya hari ini.
Beliau juga turut menawarkan ruang dan insentif di MY Integrated Circuit (IC) Design Park kepada syarikat dari Afrika Selatan untuk menyertai rantaian nilai semikonduktor Malaysia.
Selain mengeratkan kerjasama pertahanan dan perdagangan seperti daging lembu serta sains dan inovasi, PMX juga turut memohon dukungan Afrika Selatan mengenai pencalonan Malaysia di beberapa badan antarabangsa termasuk IMO, ECOSOC, ITU, HRC dan UNSC.
” Malaysia komited membina hubungan yang lebih kukuh berteraskan solidariti, keyakinan dan agenda pembangunan yang saling memanfaatkan rakyat kedua-dua negara Malaysia dan Afrika Selatan, ” ujar PMX lagi.
🇲🇾🇿🇦
