PMX terima kunjungan hormat Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Ethiopia

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
21 NOV. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Ethiopia yang diketuai Presidennya, Sheikh Haji Ibrahim Tufa.

Beliau berkata pertemuan ini membuka ruang yang bermakna untuk mereka berbincang serta bertukar pandangan terkait usaha memperkukuh pembangunan ummah termasuk menangani gejala Islamofobia dengan kebijaksanaan, hikmah serta kelembutan, berlandaskan nilai belas ihsan, kemanusiaan dan empati.

“Saya menyatakan keterujaan dan rasa hormat mendalam terhadap suasana harmoni antara Islam, Kristian dan pelbagai agama di Ethiopia, satu warisan yang menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan masyarakatnya dalam mengurus kepelbagaian secara damai,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

MENGANGKAT MARTABAT ISLAM

Jelas beliau Malaysia konsisten mengangkat martabat Islam sebagai agama yang membawa kesejahteraan dan toleransi melalui pendidikan, dakwah berhemah, dialog antara peradaban serta kerjasama erat dengan komuniti Islam di Ethiopia.

“Sebagai tanda ukhuwah, saya turut menyerahkan sumbangan kepada komuniti Islam setempat, termasuk senaskhah al-Quran edisi khas beserta rehal, serta empat kotak al-Quran terjemahan bahasa Inggeris dan bertajwid sebagai simbol penyebaran ilmu dan persaudaraan,” tambah Anwar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *