Raja Muda zahirkan ucap tahniah kepada dua kumpulan penyelidik UniMAP raih kejayaan di Jerman

Oleh: Sholina Osman
22 NOV. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan tahniah kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) atas kejayaan cemerlang para penyelidiknya yang baru-baru ini meraih dua pingat emas serta Anugerah Khas National Research Council of Thailand (NRCT) di Pameran Inovasi iENA 2025 (International Trade Fair, Ideas, Inventions, and New Products) yang berlangsung di Nuremberg Exhibition Center, Jerman.

Kejayaan tersebut dicapai melalui dua kumpulan penyelidik UniMAP.

Kumpulan pertama diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah bersama Prof. Madya Dr. Rafiza Abd Razak melalui produk bertajuk “A Dual-Purpose GeoPlaster Surface System for Integrated Structural Finishing and Fire Protection”.

Kumpulan kedua pula diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh dengan inovasi bertajuk “NS-UR Flux Cored Lead-free Solder Wire: A High Strength Solution for Reliable Electric/Electronic Interconnects”.

MENJADI PEMBAKAR SEMANGAT

Menurut Baginda, kejayaan ini wajar menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga UniMAP untuk terus berusaha gigih, berinovasi serta bekerja keras dalam mencapai kejayaan pada setiap peringkat sama ada nasional mahupun antarabangsa.

Titah tersebut dizahirkan selepas Baginda, yang juga Tuanku Canselor UniMAP, berkenan berangkat meninjau persiapan akhir Dewan Tuanku Canselor yang baru siap
Dan buat julung kalinya akan menjadi venue Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis 20 yang akan berlangsung pada 22 hingga 25 November 2025 yang akan datang ini di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

Istiadat tahun ini merangkumi lapan sesi konvokesyen dengan kehadiran lebih 3,800 graduan.

MENYEMPURNAKAN SIDANG PERTAMA

Raja Muda dijadualkan akan menyempurnakan sidang pertama, ketiga dan kelima.

Raja Puan Muda Perlis, selaku Pro Canselor UniMAP, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, pula akan menyempurnakan sidang kedua, keempat, dan keenam.

Manakala sidang ketujuh dan kelapan akan disempurnakan oleh anakanda sulung baginda berdua, Yang Amat Mulia Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail selaku seorang lagi Pro Canselor tambahan yang baru sahaja dilantik berkuatkuasa 22 November 2025. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *