PMX terima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
1 DIS. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation, Lip-Bu Tan, seorang anak Malaysia yang telah mengharumkan nama negara dalam industri semikonduktor dan perisian di persada global.

Beliau berkata dalam
pertemuan tersebut, mereka membincangkan perkembangan sektor semikonduktor serta usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi.

Anwar berkata berdasarkan keyakinan terhadap perancangan jangka panjang negara, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Intel mengumumkan pelaburan tambahan bernilai RM860 juta bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi pemasangan dan ujian mereka.

ATAS SOKONGAN BERTERUSAN

“Intel turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Kerajaan Malaysia, khususnya terhadap pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju di Pulau Pinang yang melibatkan perbelanjaan modal RM12 bilion dan kini 99 peratus siap,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Beliau juga menyambut baik kerjasama Intel dengan institusi pendidikan dan latihan melalui mata pelajaran elektif serta projek penyelidikan dan pembangunan, yang telah menerima komitmen pembiayaan RM2.8 juta dalam tempoh dua tahun.

“Segala pelaburan ini mencerminkan keyakinan sebuah syarikat global terhadap Malaysia sebagai rakan kongsi utama dalam memacu inovasi, mengukuhkan ekosistem bakat tempatan dan mengekalkan daya saing negara di pentas dunia,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *