Seorang saintis di Pulau Pinang rugi hampir setengah juta ditipu pelaburan dalam talian

Oleh: Sholina Osman
5 DIS. 2025

Seorang saintis di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang terpaksa “berputih mata” setelah wang simpanan berjumlah RM466,078 lesap ditipu “scammer”.

Lelaki berusia 26 tahun ini menyedari telah terpedaya dengan penipuan dalam talian menerusi platform Digital Realtyv.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, perangkap ke atas mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan bermula ketika berkenalan dengan suspek menerusi aplikasi Xion Hong Shu pada awal September 2025.

“Suspek (lelaki) kemudiannya menawarkan satu pelaburan bernama Digital Realtyv,” kata Azizee.

BERHUBUNG DENGAN SUSPEK

Mangsa mula berhubung dengan suspek melalui aplikasi Xio Hong Shu yang menawarkan pelaburan trading jual beli nilai mata wang asing (forex).

Ia menjanjikan keuntungan tips yang tinggi kepada mangsa dalam tempoh masa yang singkat.

Mangsa yang berminat dengan tawaran ini mula membuat bayaran kali pertama berjumlah RM4,500.00 pada 6 Oktober 2025 ke dalam akaun Bank Hong Leong atas nama individu.

Pada tarikh yang sama ini juga mangsa telah mendapat keuntungan berjumlah RM4754.00 dan keuntungan itu berjaya ditunaikan.

MENAMBAH PELABURAN MODALNYA

Atas keyakinan itu mangsa kemudiannya menambah pelaburan modalnya kepada RM466,078.51.

Pelaburan ini bermula pada 6 Oktober 2025 hingga 17 November 2025 di mana mangsa telah melakukan 13 transaksi ke dalam tujuh akaun bank berbeza.

Mangsa kemudiannya menyedari diperdaya apabila mahu membuat pengeluaran keuntungan yang diperoleh dalam aplikasi berkenaan.

TIDAK BOLEH KELUARKAN

Bagaimanapun mangsa tidak boleh keluarkan keuntungan.

Sebaliknya mangsa diminta untuk membuat pembayaran tambahan bagi tujuan pengeluaran keuntungan tersebut.

Mangsa yang mengesyaki telah ditipu itu telah tampil membuat laporan polis pada 1 Disember 2025 di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan penipuan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *