


Oleh: Sholina Osman
7 DIS. 2025
“Scammer” boleh menipu sesiapa saja. Jadi sentiasalah berhati-hati.
Siapa sangka seorang yang berjawatan akauntan pun boleh termasuk perangkap “scammer”.
Akibatnya seorang akauntan wanita berusia 55 tahun rugi RM916,700.00 hanya kerana terpengaruh dengan sindiket yang menawarkan keuntungan pelaburan saham antara 30 hingga 40 peratus dalam tempoh 24 jam.
Perkara ini didedahkan oleh Ketua Polis Daerah Kulai, Asistan Komisioner Tan Seng Lee dalam kenyataan media setelah mangsa membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Johor pada 5 Disember 2025.
APLIKASI RGFO MAXX
Bagi tujuan pelaburan itu, suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi RGFO MAXX milik mangsa.
Mangsa kemudiannya telah membuat 35 kali transaksi pembayaran berjumlah RM916,700.00 ke dalam empat akaun bank tempatan bermula dari tarikh 02/10/2025 sehingga 11/11/2025.
Hasil semakan pada akaun RGFO MAXX, mangsa mendapati keuntungan yang diperoleh sebanyak RM5,435,748.00.
Bagaimanapun apabila mangsa cuba membuat pengeluaran wang dalam akaun RGFO MAXX miliknya gagal kerana telah disekat.
MEMBUAT LAPORAN
POLIS
Mangsa yang menyedari telah ditipu kemudiannya tampil membuat laporan polis.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iatu tipu pelaburan tidak wujud.
Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda. – JM
