Penerbitan ilmiah UPSI ungguli Majlis Anugerah MAPIM-KPT Ke-16

Oleh: Sholina Osman
11 DIS. 2025

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengungguli bidang penerbitan ilmiah apabila meraih pelbagai anugerah berprestij pada Majlis Anugerah MAPIM-KPT Ke-16 yang berlangsung di Dewan Zaaba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Putrajaya Selasa lalu.

Majlis berprestij anjuran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dan KPT telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik & Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub.

UPSI menerima empat anugerah, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara institusi peneraju dalam penerbitan ilmiah dan penyelidikan berimpak tinggi di peringkat nasional.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyifatkan kejayaan itu hasil komitmen yan tinggi akademia UPSI untuk menghasilkan karya bermutu.

MENERBITKAN KARYA BERMUTU

“Saya senantiasa menyokong usaha Penerbit UPSI menerbitkan karya bermutu berlandaskan penyelidikan yang berimpak tinggi terhadap masyarakat dan negara,” katanya.

Pengarah Penerbit UPSI, Prof. Madya Dr Nordiana Hamzah berkata pengiktirafan tersebut dicapai melalui kualiti penerbitan jurnal dan hasil penyelidikan yang tinggi menerusi Journal of ICT in Education (JICTIE) yang berjaya meraih tempat pertama bagi kategori Makalah Jurnal Terbaik Sains Sosial dan Ilmu Kemanusiaan (Kebangsaan) bagi artikel bertajuk “Designing Immersive Narratives of Jugra Heritage Site for Cultural Edutainment Using Mixed Reality (MR)”, hasil penulisan Mazarina Mat Zain bersama pasukan penyelidik.

Dalam kategori antarabangsa pula, UPSI meraih tempat ketiga melalui makalah “Pianists’ Interpretive Insight: Exploring Hunt, Military and Pastoral Motifs through Monelle’s Topic Theory” yang diterbitkan dalam Malaysian Journal of Music (MJM) hasil penulisan Ding Jin, Poon Chiew Hwa dan Feng-Hsu Lee.

MEMENANGI TEMPAT KETIGA

Selain itu, jurnal Educatum (Journal of Science, Mathematics and Technology) turut menerima pengiktirafan apabila memenangi tempat ketiga bagi kategori Makalah Jurnal Terbaik Sains dan Teknologi (Kebangsaan) melalui kajian bertajuk “Incorporation of Graphene Oxide/Metal Oxide into Modified Polyvinylidene Fluoride Membrane for the Degradation of Methylene Blue Dye Through Adsorption Photocatalytic Activity” yang diketuai oleh Siti Nor Aisyah Jamilon bersama pasukan penyelidik.

Prof. Dr. Nordin Mamat dinobatkan sebagai Penulis Prolifik Terbaik, sekali gus mengangkat nama UPSI sebagai institusi penerbitan universiti yang aktif dan berkualiti serta sering dijadikan rujukan dalam pelbagai bidang pendidikan awal kanak-kanak, kepimpinan dan kemasyarakatan.

Prof. Dr. Nordin Mamat merupakan seorang pakar dalam pendidikan awal kanak-kanak di Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI.

MENGETUAI BANYAK KAJIAN

Beliau mengetuai banyak kajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak seperti kajian perbandingan kualiti pencapaian prasekolah KPM, KEMAS, JPNIN dan TADIKA Swasta; Kajian kebolehlaksanaan Tabika JPNIN di bawah KPM untuk memperkukuhkan kemahiran guru dan perjawatan, pola interaksi dan sosio emosi kanak-kanak (Etnik China and India; Modifikasi tingkahlaku kanak-kanak di TASKA, kajian penilaian TADIKA PERKIM dan penilaian modul karektor.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dr. Suriani Abu Bakar berkata, kejayaan yang diraih UPSI melambangkan kekuatan ekosistem penerbitan universiti secara menyeluruh.

“Setiap anugerah yang kita raih bukan sekadar kemenangan sebuah karya, tetapi hasil usaha kolektif yang melibatkan penulis, penilai, editor serta seluruh warga penerbit. Sinergi inilah yang mengangkat UPSI ke tahap lebih tinggi,” katanya.

TERUS MEMPERKUKUH KECEMERLANGAN

Beliau turut menyatakan harapan agar Penerbit UPSI terus memperkukuh kecemerlangan dan meraih lebih banyak pengiktirafan pada masa hadapan.

“Kemenangan UPSI dalam pelbagai kategori membuktikan komitmen universiti sebagai institusi penerbitan yang konsisten, kompetitif dan inovatif.

Kejayaan ini bukan sahaja menaikkan reputasi UPSI di persada kebangsaan dan antarabangsa, malah menunjukkan kesungguhan warga akademik UPSI dalam melahirkan karya berimpak tinggi sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi,” tambah beliau.

“Penerbit UPSI terus berdiri sebagai tulang belakang dalam memartabatkan penerbitan ilmiah negara, sesuai dengan peranan universiti sebagai peneraju pembangunan pendidikan dan penyelidikan negara,” ujar beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *