






Oleh: Sholina Osman
12 DIS. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa hubungan erat antara Jabatan Kerajaan dan Agensi Swasta merupakan elemen penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan serta kelestarian operasi berintegriti.
Kedua-dua pihak, titah Baginda, perlu terus saling memperkukuh peranan masing-masing dalam membina ekosistem perniagaan yang kondusif, berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran semasa.
Tuanku Raja Muda turut menekankan bahawa setiap syarikat hendaklah memberi tumpuan kepada empat teras utama dalam operasi perniagaan, iaitu meningkatkan produktiviti melalui pelaksanaan automasi secara berperingkat, memastikan pematuhan penuh terhadap peraturan buruh, alam sekitar dan kualiti, memperkukuh budaya inovasi melalui Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta menerapkan teknologi baharu bagi mengoptimumkan keseluruhan proses pembuatan.
PADA MASA DEPAN
“Majlis Apresiasi seperti ini wajar diteruskan pada masa hadapan dan diperluas penyertaannya kepada lebih banyak Jabatan dan Agensi. Inisiatif sebegini bukan sahaja menjadi wadah penghargaan, malah platform strategik untuk memperkukuh hubungan, mempertingkatkan komunikasi dan memperluas jaringan kerjasama demi kemajuan berterusan Negeri Perlis,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Apresiasi kepada Jabatan Kerajaan dan Agensi Swasta anjuran Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd. yang berlangsung di Kangar.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Urusan Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd., Imran Ibrahim.
SEBAGAI TANDA PENGHARGAAN
Majlis ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan atas sokongan strategik dan kerjasama berterusan daripada pelbagai pihak yang telah membantu memperkukuh prestasi syarikat serta menyokong pembangunan industri pembuatan sarung tangan negara.
Majlis Apresiasi ini secara keseluruhannya mencerminkan komitmen Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd. untuk terus menjalin hubungan erat dengan agensi-agensi kerajaan dan rakan industri, seiring usaha syarikat untuk kekal berdaya saing, inovatif serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara. – JM
