






Oleh: Sholina Osman
14 DIS. 2025
Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru seluruh rakyat serta agensi berkaitan agar segera bangkit selepas musibah banjir, dengan melaksanakan usaha pemulihan secara menyeluruh dan bersepadu demi kesejahteraan masyarakat.
Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, musibah banjir yang melanda merupakan satu ujian besar yang memberi kesan luas terhadap kehidupan rakyat.
Justeru, mangsa yang terjejas diseru agar segera mencari kekuatan, sama ada dari sudut kewangan mahupun emosi, bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup serta membina semula kehidupan pasca bencana.
PERANAN PENTING AGENSI
Selain itu, Sharifah Khatreena Nuraniah turut menegaskan peranan penting agensi-agensi berkaitan untuk bertindak dengan pantas dan berkesan dalam memulihkan infrastruktur awam yang rosak dan terkesan akibat banjir.
Usaha pemulihan ini amat penting bagi menjamin keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan rakyat setempat.
Seruan tersebut dizahirkan ketika keberangkatan puteri sulung Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis berkenaan menyantuni mangsa banjir di Kariah Wang Kelian, dalam program ziarah kebajikan yang dilaksanakan bagi menyampaikan agihan sumbangan daripada rakan-rakan beliau dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Nelayu Perlis (MAIPs).
MENCERMINKAN KEPRIHATINAN BERTERUSAN
Keberangkatan ini mencerminkan keprihatinan berterusan Institusi Diraja Perlis terhadap kebajikan rakyat yang diuji dengan bencana alam.
Turut hadir mengiring ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, dan Imam Masjid Nurul Husna Wang Kelian, Noorhamizi Mohd Yaacob.
Dalam suasana penuh keinsanan dan empati, Sharifah Khatreena Nuraniah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir serta menzahirkan rasa simpati dan memberikan kata-kata perangsang agar mereka terus tabah, sabar dan tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan.
Penduduk setempat menyambut keberangkatan dengan penuh rasa terharu serta menjunjung kasih atas keprihatinan yang dizahirkan, yang bukan sahaja membantu meringankan beban keperluan asas, malah menyuntik kekuatan moral dan semangat kebersamaan.
Program ini diharapkan dapat menyumbang kepada usaha pemulihan pasca banjir serta mengukuhkan kerjasama antara institusi, agensi dan masyarakat dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela. – JM
