








15 Disember 2025
Perdana Menteri Datok Seri Anwar pagi ini, menghadiri Majlis Meraikan Penerbitan Buku “The Man Who Could Move Mountains – Reflections on the Social Activism of S.M. Mohamed Idris” anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
“Allahyarham S.M. Mohamed Idris, atau Uncle Idris, anak jati Pulau Pinang, merupakan tokoh aktivis pengguna dan sosial yang disegani di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Saya mengenali beliau sejak tahun 1970-an, dan sepanjang lebih 55 tahun perjuangan, beliau dikenali sebagai insan yang sopan, tegas berprinsip dan bijaksana dalam menangani isu-isu dasar merentasi lapisan masyarakat dan generasi, ‘’ ujar PMX dalam perkongsian di laman sosialnya hari ini.
PMX menjelaskan, penerbitan buku tersebut bukan sahaja merakam sumbangan besar Allahyarham kepada gerakan masyarakat sivil, malah menjadi khazanah ilmu yang mengangkat nilai keberanian moral, keprihatinan sosial dan komitmen terhadap keadilan.
“ Saya menyeru komuniti aktivis sosial agar terus menjadi penggerak perubahan, meneruskan aktivisme sivik berteraskan kemanusiaan, serta menjadikan naskhah ini sebagai rujukan dan panduan kepada generasi aktivis masa hadapan, ‘’ jelas PMX lagi.
