Literasi kewangan tinggi di kalangan rakyat tonggak kepada pembangunan – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
16 DIS 2025.

Literasi kewangan yang tinggi dalam kalangan rakyat akan menjadi tonggak kepada pembangunan sosial dan ekonomi Perlis yang mampan serta berdaya saing.

Kerjasama antara pelbagai agensi, institusi pendidikan, dan pihak swasta hendaklah diperkukuhkan dalam melaksanakan program-program pendidikan kewangan yang menyeluruh di sekolah dan komuniti.

Pendekatan berasaskan aktiviti, simulasi atau latihan praktikal wajar diperkasa bagi menjadikan pembelajaran kewangan lebih menarik dan mudah difahami oleh golongan pelajar.

BIMBINGAN YANG BERSTRUKTUR

Dengan pendedahan yang berterusan serta bimbingan yang berstruktur, diharapkan rakyat Perlis khususnya golongan muda akan menjadi lebih celik kewangan, mampu mengurus pendapatan dengan baik dan seterusnya menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri.

Demikian titah saranan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas Baginda berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Simpang Ampat, Perlis baru-baru ini.

Kayuhan amal ini diadakan bagi mendekati masyarakat melalui aktiviti berbasikal sambil menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf.

KESIHATAN DAN KEPRIHATINAN

Ia menjadi wadah berkesan yang menggabungkan elemen sukan, kesihatan dan keprihatinan sosial dalam satu usaha bersepadu untuk membantu mereka yang memerlukan di negeri Perlis.

Program ini turut mencerminkan komitmen dan keprihatinan berterusan MAIPs terhadap kesejahteraan ummah serta keseimbangan pembangunan sosial di negeri ini.

Sempena kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan MAIPs berupa wang tunai, Kits MAIPs Peduli, serta beras fidyah kepada para penerima terpilih.

Antara asnaf yang menerima sumbangan pada edisi kali ini ialah Zuri Zulkifli, 38 dari Kampung Bongor Kudong, Azizul Rahman Bahari, 59 dari Kampung Padang Petani, dan Mohd Hisham Said, 41 dari Kampung Bongor Kudong. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *