Tabung Jumaat seluruh masjid di Perlis esok disalur untuk mangsa banjir Acheh – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
18 DIS. 2025

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah bersetuju menetapkan agar, kutipan Tabung Jumaat di semua masjid seluruh Perlis pada Jumaat, 19 Disember 2025 akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir Acheh.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs bertitah ia sebagai menandakan ikatan ukhuwah yang tidak terpisah dan semangat kemanusiaan sejagat.

“Besarlah harapan saya agar sumbangan ikhlas yang dihulurkan oleh umat Perlis akan dapat membantu usaha pemulihan dan pembangunan semula kehidupan saudara kita di Acheh,” titah Baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Arau malam ini.

SUMBANGAN DAN BANTUAN

Baginda menyeru seluruh umat Perlis yang dikasihi agar bersama-sama menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir di Acheh.

Baginda bertitah sesungguhnya bantuan ini adalah manifestasi daripada semangat persaudaraan dan keprihatinan yang terpuji.

“Semoga Allah SWT merahmati setiap usaha dan sumbangan yang dihulurkan, serta memberikan kekuatan dan kesabaran kepada seluruh mangsa yang terlibat dalam menghadapi ujian besar ini,” titah Baginda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *