






Oleh: Sholina Osman
12 JAN. 2026
Kerajaan menyasarkan 95 peratus perkhidmatan kerajaan persekutuan dilaksanakan secara dalam talian menjelang 2030.
Kenyataan media Kementerian Digital memaklumkan selain itu kerajaan juga menyasarkan 100 peratus data persekutuan didigitalkan berdasarkan pendekatan Whole-of-Government, sebagai langkah strategik untuk memperkukuh transformasi digital negara dan meningkatkan kecekapan serta kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
“Jabatan Digital Negara (JDN) juga sedang membangunkan dokumen Rancangan Pendigitalan Sektor Awam 2026 hingga 2030 yang akan siap pada pertengahan Januari 2026 untuk mempergiat lagi usaha pendigitalan kerajaan di semua peringkat termasuk kerajaan Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” kata kenyataan itu lagi.
PENGGUNAAN TEKNOLOGI BAHARU
Ini termasuk penambahbaikan sistem
sedia ada, pemerkasaan penggunaan teknologi baharu, pembangunan modal insan digital dan peningkatan kerjasama strategik antara agensi dalam memastikan transformasi digital sektor awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh, bersepadu dan berimpak tinggi kepada rakyat.
Kementerian Digital sentiasa memastikan pemanfaatan teknologi AI oleh agensi-agensi Kerajaan dijalankan secara terancang dan beretika.
Sehubungan itu, inisiatif AI@Work telah diperkenalkan sebagai platform untuk memperkukuh penggunaan AI dalam operasi harian sektor awam, khususnya bagi meningkatkan kecekapan kerja, produktiviti, serta kualiti penyampaian perkhidmatan.
PENGGUNAAN TEKNOLOGI AI
Dari Mac hingga November
2025, penggunaan teknologi AI di bawah inisiatif AI@Work mencatat peningkatan sebanyak 10 peratus secara bulanan.
Sehingga Disember 2025, seramai 373,346 orang penjawat awam telah aktif menggunakan teknologi AI ini dan menikmati manfaatnya,
termasuk peningkatan kecekapan penyediaan dokumen, pengurangan masa menyiapkan tugasan rutin, serta sokongan dalam membuat keputusan yang lebih informatif.
Usaha ini akan terus diperkasakan pada tahun 2026 secara berterusan, selaras dengan agenda transformasi digital kerajaan dan menyokong aspirasi kerajaan untuk perkhidmatan tanpa kertas, bagi memastikan teknologi AI dapat meningkatkan prestasi kerja, produktiviti, dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
MEMPERKUKUH AGENDA PENDIGITALAN
Secara keseluruhan, Kementerian Digital kekal komited untuk memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam melalui pelaksanaan sistem yang menyeluruh, bersepadu dan berorientasikan hasil.
Pemanfaatan teknologi digital termasuk AI akan terus dipacu secara berperingkat, beretika dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Usaha ini selaras dengan aspirasi Perdana Menteri untuk memastikan transformasi digital negara bukan sahaja meningkatkan kecekapan pentadbiran, malah mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan serta daya saing Malaysia di peringkat global. – JM
