



Oleh: Sholina Osman
28 JAN. 2026
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta pada Belanjawan 2026 untuk membantu
kira-kira 5,000 pemilik kenderaan lama menggantikan kenderaan mereka kepada kenderaan yang lebih selamat dan lebih cekap.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata di bawah program ini, setiap penerima yang layak akan
menerima geran padanan sehingga RM2,000.
“Jumlah ini akan dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan,
sekali gus meningkatkan jumlah insentif yang diterima oleh rakyat dan mengurangkan kos keseluruhan
pembelian kenderaan baharu,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Peluncuran Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama di Putrajaya, semalam.
RAKYAT BERKONGSI TANGGUNGJAWAB
Beliau berkata pendekatan geran padanan ini memastikan Kerajaan,
industri dan rakyat berkongsi tanggungjawab, di mana dana awam dimanfaatkan secara lebih cekap, sementara rakyat menikmati sokongan kewangan yang sebenar dan bermakna.
Anthony berkata salah satu objektif utama program ini ialah untuk
mengurangkan jumlah kenderaan lama yang tidak lagi roadworthy di jalan raya.
Beliau berkata sekaligus ia dapat mengurangkan risiko kemalangan dan melindungi nyawa pengguna jalan raya.
MENGELUARKAN KENDERAAN LAMA
Di samping itu kata beliau dengan mengeluarkan kenderaan lama daripada jalan raya bukan
sekadar langkah pentadbiran, ia adalah satu bentuk intervensi keselamatan yang boleh mencegah tragedi, mengurangkan kecederaan, dan menyelamatkan nyawa.
“Keselamatan jalan raya bukan hanya soal statistik atau angka. Ia adalah soal nyawa manusia, keselamatan
keluarga, dan kesejahteraan komuniti,” kata Anthony.
Jelas beliau setiap kenderaan lama yang digantikan melalui program
ini adalah satu risiko yang dikurangkan, dan satu langkah
ke arah jalan raya yang lebih selamat untuk semua. – JM
