

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
29 JAN. 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tegas buat kesekian kalinya di hadapan ketua-ketua agensi penguatkuasaan tatkala melihat rasuah, pencerobohan, penyeludupan dan kegiatan gelap masih berlaku selepas tiga tahun mengemudi negara.
“Keadaan ini cukup mendukacitakan, dan saya di tahap hilang sabar apabila sebahagiannya berlaku kerana ruang dan keizinan badan penguat kuasa itu sendiri,” kata beliau pada majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Jabatan, Agensi Penguatkuasaan Yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan anjuran Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), di Putrajaya.
“Saya berikan tempoh satu minggu untuk semua pimpinan dan anggota penguat kuasa menilai sama ada mampu memikul amanah ini dengan tegas dan berani, atau berundur dan beri laluan kepada mereka yang sanggup, jika merasakan amanah ini terlalu berat atau godaan rasuah terlalu mengiurkan,” tegas Anwar.
Beliau menyatakan masih menaruh kepercayaan tinggi kepada sebahagian besar anggota yang jujur, ikhlas dan berintegriti dalam usaha menyelamatkan negara ini.
Jelas Anwar pangkat dan bintang bergemerlapan di bahu bukan sekadar hiasan, tetapi amanah untuk kita menegakkan kebenaran dan keadilan. – JM
