



Oleh: Sholina Osman
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
29 JAN. 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya anak-anak muda patut ada jawatankuasa khas di bawah jawatankuasa masjid.
Beliau berkata Masjid Cherok Tokkun telah mewujudkan jawatankuasa khas anak-anak muda, di mana patut dicontoh oleh masjid-masjid yang lain.
“Bagi ruang pada dia (anak muda) nak buat kelas dia khas dia nak buat kegiatan dia khas asalkan ikut peraturan kita jalankan, baru jadi masjid ini betul-betul diimarahkan,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Kubang Ulu, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang baru-baru ini.
DAPAT TINGKATKAN PERANAN
Anwar berkata dengan perasmian ini maka Jawatankuasa Masjid akan dapat meneruskan kerja mereka supaya dapat tingkatkan peranan masjid itu sebagai pusat penyatuan umat, pencerahan pemikiran, kekuatan akidah, membaiki akhlak, membentuk generasi yang ada asas akidah dan akhlaknya.
Tegas beliau ini juga seiring dalam prinsip pendidikan negara ini.
“Masjid mesti selari dengan falsafah pendidikan kita. Ada orang menganggap bahawa pendidikan ini berbeza, kerana kita ada sekolah agama, Maahad Tahfiz jadi sekolah ni berlain. Saya tidak setuju,” kata beliau.
LULUSKAN KEMBALIKAN PERUNTUKAN
Anwar menjelaskan perkara pertama yang dilakukan, 22 November 2022 apabila menjadi Perdana Menteri, pada 23 November 2022 terus beliau luluskan kembalikan peruntukan kepada sekolah agama rakyat.
Malah kata beliau kerana dirasakan tidak cukup maka ditambah lagi peruntukan bagi kegiatan Islam, termasuk melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjumlah RM2.6 bilion.
“Jadi di sini saya hendak umumkan juga, kita telah menyediakan peruntukan pada tahun lalu RM150 juta tetapi tahun ini RM200 juta untuk memperbaiki kelengkapan di sekolah-sekolah agama, sekolah pondok dan maahad tahfiz di negara kita, termasuk di Pulau Pinang,” tambah beliau. – JM
