






Oleh: Sholina Osman
2 FEB. 2026
Sunnah memberikan panduan kepada umat Islam untuk membezakan antara amalan yang benar-benar bersumberkan ajaran agama dengan yang timbul daripada adat, kepercayaan, atau tafsiran tanpa asas yang jelas.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah ajaran yang bukan berasaskan pada panduan yang sahih, walaupun kelihatan baik pada zahirnya, ia boleh mengelirukan kefahaman agama jika tidak dirujuk dengan ilmu dan hikmah.
“Dalam soal kehidupan di mana
Undang-undang Islam tidak mengenakan ketetapan tertentu, tradisi dan budaya boleh diamalkan selagi ia kekal dalam garis panduan yang ditetapkan oleh al-Quran dan as-Sunnah,” titah Baginda.
PERLIS INTERNATIONAL SUNNAH
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan “Perlis International Sunnah Convention 2026” (PISC 2026) anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Dewan 2020, Kangar petang semalam.
Berkenan berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda bertitah Sunnah Nabi Mohamad SAW bukan sahaja memberi panduan beribadah dan pemahaman agama tetapi juga berfungsi sebagai asas pembinaan akhlak dan tamadun yang mulia.
IA MEMBINA MASYARAKAT
Titah Baginda Sunnah membentuk individu sebelum masyarakat, dan ia membina masyarakat sebelum melahirkan tamadun yang kukuh dan berdaya tahan.
“Saya yakin bahawa usaha menghidupkan Sunnah bukanlah nostalgia semata-mata, tetapi suatu yang mendesak keperluan untuk masa depan,” titah Baginda.
Baginda bertitah Sunnah menawarkan hidayah yang kekal relevan merentas masa dan keadaan dalam membentuk maruah
masyarakat dan negara yang makmur.
KALI KE-TIGA
PISC 2026 pada kali ke-tiga ini diadakan dari 30 Januari hingga 1 Februari 2026.
Pada tahun ini ia menampilkan lebih 10 tokoh ilmuwan dan pendakwah antarabangsa termasuk Zakir Naik dan Datuk Hussain Yee yang membincangkan peranan Sunnah dalam pelbagai aspek.
Sempena PISC 2026 juga dilancarkan tarikh Perkampungan Sunnah 2026 iaiti pada 24 hingga 26 April 2026 dan pelancaran program Jom Ramadan di Perlis. – JM
