Jendela Madani dapat penghargaan SWCorp

Wartawan JM
27 FEB. 2026

Portal Jendela Madani antara media yang diberikan penghargaan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada Majlis Apresiasi Pasca Banjir Peringkat Negeri Perlis dan Majlis Berbuka Puasa di Mes Pegawai Kanan Polis Kangar, Perlis, malam tadi.

Wakil Jendela Madani di Perlis, Sholina Osman menerima plak yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed.

Hadir sama Pengarah SWCorp Perlis Fadil Idris.

Dalam ucapannya Khalid menghargai para pengamal meria yang sentiasa komited dalam membuat liputan dari semasa ke semasa kepada masyarakat.

MEDIA AMAT PENTING

“Peranan media amat penting dalam menonjolkan usaha dan pengorbanan para petugas barisan hadapan serta meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan sisa dan kebersihan persekitaran,” kata beliau lagi.

Khalid berkata operasi pasca banjir yang dilaksanakan bermula 29 November 2025 sehingga 06 Disember 2025 telah melibatkan seramai 189 orang petugas termasuk penguat kuasa SWCorp dengan sokongan 65 unit jentera, merangkumi 53 unit mini armroll dan 12 unit backhoe yang dipantau oleh penguat kuasa SWCorp.

“Operasi ini telah meliputi 116 kawasan terjejas di bawah perkhidmatan dan seliaan SWCorp melibatkan 8,910 premis, dengan jumlah kutipan sisa banjir sebanyak 1,258.03 tan telah direkodkan di Tapak Pelupusan Sanitari Rimba Mas,” kata beliau.

BUKAN SEKADAR STATISTIK

Beliau berkata angka ini bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan kesungguhan, pengorbanan dan komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipulihkan dengan segera.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor swasta dan pihak berkepentingan, kita mampu menghadapi sebarang cabaran dengan lebih cekap dan berkesan,” kata beliau lagi.

Khalid juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan strategik sektor swasta atas sokongan dan kerjasama yang amat bernilai, sama ada dalam bentuk logistik, tenaga kerja mahupun sumbangan lain yang telah memperkukuhkan keberkesanan operasi pemulihan secara menyeluruh. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *