
Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 MAC 2026
Malaysia menggesa agar ketegangan Afghanistan dan Pakistan ini ditangani melalui dialog dan saluran diplomatik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi mengelakkan konflik berpanjangan yang hanya akan membawa kesengsaraan kepada rakyat serta menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau.
Beliau berhubung dengan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund bagi membincangkan ketegangan yang semakin memuncak antara Afghanistan dan Pakistan ketika ini.
“Saya menegaskan bahawa kedua-dua negara perlu menahan diri serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Anwar berkata tindakan ketenteraan yang telah meragut ratusan nyawa di kedua-dua belah pihak mesti dihentikan segera. – JM
