



Oleh: Sholina Osman
19 MAC 2026
Kerajaan Persekutuan melalui agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia terus berada dalam keadaan siap siaga menghadapi Musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia telah bermula pada November 2025 dan dijangka berakhir pada Mac 2026 semasa tempoh musim perayaan Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Beliau berkata pelaksanaan perancangan awal, penyelarasan sumber serta kesiapsiagaan operasi terus menjadi fokus utama PETRA menerusi JPS bagi memastikan pengurusan risiko banjir dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
“Sehingga 17 Mac 2026, sebanyak 745 kejadian banjir telah direkodkan di seluruh negara kecuali Wilayah
Persekutuan Putrajaya,” kata beliau dalam kenyataan media.
PADA TAHAP OPTIMUM
Fadillah berkata bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pada tahap optimum dalam menghadapi MTL, PETRA telah melaksanakan beberapa langkah strategik.
“Pemantauan operasi ramalan dan amaran banjir dilaksanakan 24
jam sehari sepanjang tahun melalui penggunaan model ramalan
banjir di 36 lembangan sungai, yang berfungsi memberikan ramalan
awal dan amaran banjir melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir
Negara (PRABN),” kata beliau.
Beliau berkata sistem ini turut disokong oleh 1,798 stesen
hidrologi telemetri yang merekodkan data hujan dan aras air sungai.
Sehingga kini, kata beliau sebanyak 64 hebahan ramalan awal banjir dan 39 hebahan amaran banjir telah dikeluarkan.
SIREN AMARAN BANJIR
“Ia melibatkan 614 siren amaran banjir telah dipasang di lokasi strategik di seluruh negara, selain 197 kamera pemantauan yang berfungsi secara langsung bagi membantu pemantauan situasi semasa,” kata beliau.
Fadillah berkata sehingga 16
Mac 2026, sebanyak 675 pengaktifan siren amaran banjir telah direkodkan sebagai langkah penyampaian amaran awal kepada penduduk di kawasan berisiko.
“3,682 lokasi hotspot banjir telah dikenal pasti di seluruh negara
sebagai rujukan kepada orang awam berkaitan kawasan yang kerap dilanda banjir,” tambah beliau.
Jelas beliau lokasi-lokasi ini dikenal pasti berdasarkan rekod kejadian banjir sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini.
JUMLAH HOTSPOT TERTINGGI
Beliau berkata antara negeri yang mencatatkan jumlah hotspot
tertinggi ialah Pahang dengan 760 lokasi, diikuti oleh Kelantan
sebanyak 618 lokasi, dan Sabah sebanyak 517 lokasi.
Tambah beliau sebanyak 606 pam mudah alih pelbagai kapasiti, 1,079 pintu kawalan air serta 285 rumah pam di seluruh negara berada dalam keadaan baik dan sentiasa bersedia untuk digunakan sekiranya diperlukan.
“Pemantauan rapi turut dilaksanakan terhadap 16 empangan kendalian JPS, 761 kolam takungan banjir, serta kerja-kerja penyelenggaraan berjadual di lembangan-lembangan sungai yang dikenal pasti berisiko tinggi mengalami banjir,” tambah beliau.
Fadillah berkata kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat-syarikat telekomunikasi bagi
melaksanakan hebahan amaran banjir melalui khidmat pesanan
ringkas (SMS) kepada penduduk di kawasan yang diramalkan
berisiko dilanda banjir.
PELEPASAN AIR EMPANGAN
Selain itu katanya penyelarasan bersama Pihak Berkuasa Negeri bagi menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pelepasan air empangan sebagai langkah persediaan untuk meningkatkan keupayaan takungan banjir empangan sepanjang Monsun Timur Laut.
Orang awam disaran untuk sentiasa mengikuti maklumat berkaitan
ramalan dan amaran banjir yang dikeluarkan secara rasmi oleh JPS
melalui laman web Public Infobanjir serta aplikasi MyPublicInfoBanjir
yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store.
PETRA akan terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi
memastikan kesiapsiagaan dan pengurusan bencana banjir dilaksanakan secara efisien, terselaras dan berkesan, demi menjamin keselamatan
rakyat serta kemampanan negara. -JM
