Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis hadir Majlis Cerapan Rukyah Hilal Syawal 1447H/2026M

Oleh: Sholina Osman
Foto: MAIPs
20 MAC 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Majlis Cerapan Rukyah Hilal Syawal 1447H/2026M di Menara Pandang, Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis pada petang semalam.

Turut berangkat, Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Menyambut keberangkatan Baginda sekeluarga serta kehadiran kepimpinan negeri adalah Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Profesor Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.

TAKLIMAT BERKAITAN DATA

Dalam majlis tersebut, Duli-Duli Tuanku turut berkenan menyaksikan proses rukyah hilal serta menerima taklimat berkaitan data cerapan yang dipersembahkan oleh Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Perlis, LSr Mohd Khairani Md Yusop.

Sempena majlis itu juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyaksikan sesi pengesahan Rukyah Hilal Syawal bagi tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi untuk Negeri Perlis.

Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan Institusi Diraja dalam memartabatkan syiar Islam di Negeri Perlis, khususnya dalam penentuan awal Syawal yang menjadi lambang kesatuan umat Islam dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

ANAK-ANAK JEMAAH

Baginda sekeluarga turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih bersama anak-anak jemaah yang hadir.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada sabtu, 21 Mac 2026 bersamaan 1 Syawal 1447 Hijrah, sebagaimana yang telah diisytiharkan dan diumumkan secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Penetapan tersebut adalah berdasarkan cerapan dan pengesahan Rukyah Hilal Syawal yang dilaksanakan di 29 lokasi cerapan rasmi seluruh negara, dengan Menara Pandang, Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis merupakan salah satu daripada lokasi cerapan berkenaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *