
Oleh: Sholina Osman
26 MAC 2026
Malaysia berjaya mencatat pencapaian terbaik dalam domain Penulisan, Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 seperti yangdiumumkan pada hari ini di Phnom Penh, Cambodia.
Kenyataan media Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan pencapaian skor purata bagi domain Penulisan murid Malaysia adalah
sebanyak 480.1 mata, iaitu 29.2 mata lebih tinggi berbanding purata serantau, dan yang tertinggi dalam kalangan semua negara Asia Tenggara yang menyertai SEA-PLM 2024.
Sebanyak 21 peratus murid Malaysia berada pada band pencapaian tertinggi iaitu Band 5 ke atas, berbanding purata serantau sebanyak lima peratus.
PEMIKIRAN KRITIS MURID
Pencapaian ini menunjukkan tahap pemikiran kritis murid yang merangkumi kandungan, konteks serta proses penyampaian idea dalam penulisan.
Walau bagaimanapun, jurang pencapaian antara kumpulan sosioekonomi, jantina serta perbezaan bahasa pertuturan di rumah dan di sekolah masih
wujud yang menjadi cabaran utama dalam memastikan pendidikan yang lebih saksama.
SEA-PLM mengukur pencapaian murid Tahun 5 dalam empat domain utama iaitu Bacaan, Matematik, Penulisan dan Kewarganegaraan Global.
158 SEKOLAH RENDAH
Bagi Malaysia, pentaksiran ini melibatkan 4,379 murid di 158 sekolah rendah, merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), SK Asli, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Swasta.
Keputusan domain Bacaan dan
Matematik telah diumumkan pada bulan Disember tahun 2025.
Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara setara dengan standard pentaksiran antarabangsa demi
manfaat anak-anak Malaysia. – JM
