FCoEE terus komited perkasa asnaf melalui pelaksanaan Program Keusahawanan Digital

Oleh: Sholina Osman
31 MAC 2026

Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE) terus komited memperkasa golongan asnaf melalui pelaksanaan Program Keusahawanan Digital, yang bertujuan untuk membantu peserta menyesuaikan diri dengan ekonomi moden menerusi pemasaran digital, penjenamaan produk, serta penggunaan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI).

Menurut Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Kamarudin Hussin, program ini menyasarkan penyertaan seramai 40 peserta terdiri daripada Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM) di bawah FCoEE, usahawan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), serta komuniti peniaga kecil Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis.

“Para peserta mempunyai produk dan kemahiran asas yang baik, namun memerlukan bimbingan strategik untuk berkembang. FCoEE melihat potensi besar dalam kalangan mereka untuk muncul sebagai usahawan berjaya dan lebih berdaya saing,” ujar beliau.

MENYUMBANG KEPAKARAN AKADEMIK

Tambah beliau, FCoEE amat menghargai kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), khususnya Fakulti Data Sains dan Komputeran yang menyumbang kepakaran akademik serta pengalaman industri bagi memastikan pelaksanaan program ini berjalan secara profesional dan berimpak tinggi.

Datuk Kamarudin berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Program Keusahawanan Digital Asnaf dan Majlis Seri Aidilfitri FCoEE yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Kangar (Dewan Sivik), Arau.

Majlis tersebut telah disempurnakan pelancarannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Penaung Diraja FCoEE dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Berangkat sama, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, serta puteri-puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

MENYAKSIKAN PEMETERAIAN PERSEFAHAMAN

Dalam majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan pemeteraian persefahaman antara FCoEE bersama Dosz Academy serta ZAHA Bina sebagai usaha memperluas jaringan kerjasama strategik.

Sementara itu, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan simbolik pemotongan kek sempena Hari Keputeraan Baginda yang disambut pada 28 Mac baru-baru ini.

Sasterawan Negara China, Liu Zhenyun juga hadir dan telah mempersembahkan buku berjudul ‘Tawa dan Tangis’ yang akan dihadiahkan kepada semua perpustakaan sekolah di Perlis oleh Pertubuhan Han Malaysia.

Majlis Seri Aidilfitri FCoEE itu turut diserikan dengan pelbagai juadah yang disediakan khas, oleh kalangan usahawan asnaf negeri Perlis yang terdiri daripada peserta PPITM, ATAM, serta peniaga tempatan.

Penglibatan mereka dalam penyediaan hidangan pada majlis ini bukan sahaja memeriahkan suasana, malah menjadi platform praktikal untuk mempromosikan produk serta memperkukuh keupayaan keusahawanan dalam kalangan peserta. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *