



Oleh: Sholina Osman
28 MEI 2026
Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sedang mengubah sempadan Malaysia-Thailand menjadi pintu masuk strategik untuk sektor pembuatan termaju, logistik rentas sempadan dan industri dipacu teknologi, menandakan satu pencapaian penting dalam agenda pembangunan sempadannya.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan dengan berpaksikan Kerangka Pelaburan Baharu yang dilancarkan – yang mengutamakan pelaburan bernilai tinggi dan pekerjaan bernilai tinggi – projek-projek pemangkin utama kini mempercepat kemasukan pelabur dan memposisikan Wilayah Utara sebagai destinasi utama dalam penjajaran semula rantaian bekalan global China +1.
“Dengan memanfaatkan dua nod logistik iaitu Pelabuhan Darat Perlis (PIP) berhampiran Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam Inland Clearance Depot (BKH ICD) di lintasan sempadan tersibuk, NCER menyepadukan taman perindustrian tematiknya iaitu Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Kedah Rubber City (KRC) dan Taman Sains & Teknologi Kedah (KSTP) – di bawah satu rangka kerja pembangunan ekonomi sempadan yang bersatu,” kata beliau dalam kenyataan media.
YANG SALING MELENGKAPI
Beliau berkata penjajaran ini memastikan perancangan yang saling melengkapi, keterhubungan rentas sempadan yang lancar dan akses terus ke pasaran pengguna ASEAN yang luas dengan lebih 680 juta penduduk, serta capaian seterusnya ke subwilayah Greater Mekong.
Mohamad Haris berkata strategi sempadan bersepadu ini direka untuk memanfaatkan peralihan yang semakin pesat dalam pembuatan global. “Strategi China +1 bukan trend sementara – ia adalah penjajaran semula struktur rantaian bekalan.
Jelas beliau dengan menggabungkan kesediaan industri dan sektor pembuatan, keterhubungan logistik, inovasi, tenaga boleh baharu patuh-ESG dan kemudahan perdagangan di pintu masuk sempadan, NCER kini menawarkan perhubungan yang unik, berisiko rendah dan kompetitif dari segi kos ke pasaran ASEAN.
PELABURAN BERNILAI TINGGI
“Kerangka Pelaburan Baharu kami memperkukuhkan lagi tawaran ini dengan menyasarkan secara khusus pelaburan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi yang mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia,” tambah beliau.
Jelas beliau hasil awal daripada pengoperasian CVIA, PIP dan KRC membuktikan model ini berfungsi dengan baik.
“Projek-projek ini bukan lagi sekadar pelan tindakan; ia sedang menghasilkan hasil yang konkrit dan memangkinkan keyakinan pelabur susulan pada tahun ini,” kata beliau.
Beliau memberitahu CVIA telah memperoleh pelaburan bersejarah daripada pengeluar global Jabil tahun lepas.
OPERASI AWAL BERMULA
Mohamad Haris berkata operasi awal bermula pada akhir Disember 2025, dengan pengembangan berperingkat sedang dijalankan dan perancangan ke arah pelaburan susulan.
Jelas beliau NCER sedang berada di peringkat akhir untuk menyimpulkan beberapa lagi komitmen besar di CVIA sebelum akhir tahun.
Sejajar dengan itu, katanya PIP yang telah siap sepenuhnya pada tahun ini, dengan NCER membangunkan infrastruktur luaran termasuk bonded road, jejambat dan susur landasan kereta api, manakala infrastruktur dalaman dibangunkan oleh Mutiara Perlis Sdn Bhd.
Tambah beliau PIP memulakan operasi awal pada akhir 2025 dan secara progresif meningkatkan kapasiti pengendalian sepanjang 2026, mengubah Padang Besar menjadi hab logistik pelbagai mod yang memendekkan masa ke pasaran bagi barangan yang bergerak merentasi sempadan darat ASEAN. – JM
