

.
πππ‘ππππͺπ, π³ πππ» β Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Maritim Negeri Kedah dan Perlis sekali lagi memainkan peranan penting dalam menyokong keperluan kecemasan perubatan dengan membantu pemindahan seorang pesakit kritikal dari Pulau Langkawi ke tanah besar bagi mendapatkan rawatan segera, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis telah menerima permohonan bantuan daripada Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk membawa seorang pesakit lelaki berusia 52 tahun yang mengalami pendarahan otak akibat aneurisme arteri komunikasi anterior (Anterior Communicating Artery Aneurysm) yang pecah.
Pesakit tersebut berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan pemindahan segera ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi mendapatkan rawatan pakar yang lebih komprehensif. Ketika proses pemindahan dilaksanakan, pesakit berada dalam keadaan sedated serta bergantung kepada bantuan pernafasan melalui ventilator.
Bot PENGGALANG 2 telah diatur gerak untuk membawa pesakit serta empat petugas perubatan Hospital Sultanah Maliha dari Jeti Maritim Malaysia Langkawi ke Jeti Kuala Perlis.
βMaritim Malaysia bukan sahaja berperanan dalam penguatkuasaan undang-undang maritim dan menjaga keselamatan perairan negara, malah sentiasa bersedia membantu dalam operasi kemanusiaan termasuk pemindahan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan. Kerjasama erat antara Maritim Malaysia dan pihak hospital merupakan satu bentuk sinergi yang penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat, khususnya penduduk pulau dan kawasan pesisir pantai,β katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kru PENGGALANG 2 serta petugas perubatan yang terlibat atas komitmen dan profesionalisme sepanjang pelaksanaan misi tersebut.
Maritim Malaysia akan terus komited dalam memberikan bantuan dan sokongan kepada komuniti maritim serta agensi berkepentingan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
.
