


Putrajaya, 7 Julai β Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik khususnya dalam aspek risikan, pertukaran maklumat dan pemantapan tadbir urus bagi memperkasakan usaha membanteras rasuah serta memelihara kepentingan negara.
Komitmen itu dizahirkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Abd Halim Aman ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO), Leftenan Jeneral Dato’ Hj Fazal Abdul Rahman di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Kunjungan hormat tersebut diadakan sebagai sesi pengenalan bersempena pelantikan Leftenan Jeneral Dato’ Hj Fazal sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan ATM yang secara rasmi memegang jawatan itu pada 21 Mei 2026.
Datoβ Sri Abd Halim berkata, SPRM amat menghargai hubungan kerjasama yang sedia terjalin dengan ATM dan berharap sinergi antara kedua-dua agensi akan terus diperkasakan.
“Saya percaya sinergi ini akan terus diperkukuh, khususnya dalam aspek perkongsian risikan, pertukaran maklumat dan pengukuhan tadbir urus bagi memastikan usaha membanteras rasuah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kepentingan negara,” katanya.
Sementara itu, Leftenan Jeneral Dato’ Hj Fazal berkata, ATM sentiasa komited mengekalkan standard tadbir urus yang tinggi, mengutamakan disiplin dalam setiap aspek pelaksanaan tugas serta memastikan setiap operasi dilaksanakan secara profesional.
“Kerjasama erat dengan SPRM akan terus diperkasakan bagi menyokong agenda integriti dan tadbir urus yang cemerlang,” katanya.
Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Dato’ Saiful Ezral Arifin dan Pengarah Direktorat Keselamatan dan Risik Balas ATM, Leftenan Kolonel Muhamad Zainol Md Yusof.
