
BUDAPEST, 14 Ogos – Kebakaran hutan besar yang melanda kawasan pesisir Adriatik berhampiran bandar bersejarah dan pelabuhan Omis, Croatia, memusnahkan sejumlah rumah serta kenderaan, selain menyebabkan lebih 12 orang cedera.
Menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik media tempatan, tujuh daripada mangsa mengalami kecederaan melecur yang mengancam nyawa dan menerima rawatan di hospital.
Kebakaran yang tercetus pada petang Khamis berhampiran Lokva Rogoznica, kira-kira 20 kilometer ke selatan Split, merebak pantas sejauh kira-kira 10 kilometer di sepanjang kawasan pesisir, dengan sebahagian besar kawasan hutan pain terbakar.
Keadaan bertambah buruk akibat angin kencang yang mempercepatkan penyebaran api, manakala kemarau berpanjangan turut dipercayai menyumbang kepada kebakaran berkenaan.
Lebih 1,000 penduduk dan pelancong terpaksa ditempatkan di gimnasium serta pusat perlindungan sementara sepanjang malam, dengan pihak berkuasa turut menggunakan bot untuk memindahkan mangsa melalui Laut Adriatik.
Ratusan anggota bomba bersama hampir 300 jentera dan empat pesawat pengebom air dikerahkan bagi mengawal kebakaran yang turut mengancam kawasan penempatan.
Omis yang mempunyai kira-kira 14,000 penduduk menjadi antara kawasan paling teruk terjejas apabila api merebak dari kawasan bukit di sekitarnya ke arah pantai.
Menjelang pagi Jumaat, keadaan dilaporkan sebahagian besarnya berjaya dikawal. Bagaimanapun, kerosakan terhadap rumah turut dilaporkan di sekurang-kurangnya enam lokasi lain, manakala penilaian rasmi mengenai jumlah keseluruhan kerosakan masih belum tersedia.
