
WASHINGTON, 30 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merancang menggunakan minyak Venezuela untuk mengisi semula Rizab Petroleum Strategik (SPR) negara itu yang kini berada pada paras terendah dalam 44 tahun.
Trump berkata proses itu akan dimulakan tidak lama lagi selepas AS mencapai perjanjian baharu dengan Venezuela bagi menghidupkan semula industri minyak negara berkenaan.
SPR AS kini menyimpan kira-kira 290 juta tong, terendah sejak November 1982, selepas stok digunakan bagi menangani gangguan bekalan global dan kenaikan harga bahan api.
Bagaimanapun, bekalan minyak Venezuela tidak dapat disalurkan serta-merta kerana industri minyak negara itu memerlukan pelaburan besar, penyelenggaraan dan pembangunan infrastruktur sebelum pengeluaran dapat ditingkatkan.
Venezuela mempunyai antara rizab minyak terbesar dunia, dengan lebih 65 bilion tong rizab terbukti, namun sebahagian besarnya masih belum dapat dieksploitasi sepenuhnya.
Langkah Trump itu dilihat sebagai usaha menambah semula simpanan strategik AS ketika pentadbirannya berdepan tekanan untuk mengawal harga bahan api yang tinggi. – REUTERS
