



NEW DELHI, 14 September 2026 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan kerja beliau ke India sebagai satu kejayaan penting buat Malaysia, khususnya dalam memperkukuh kedudukan negara di pentas antarabangsa serta meningkatkan keyakinan dunia terhadap kekuatan ekonomi Malaysia.
Berucap pada sidang media bersama media Malaysia bagi menutup tirai lawatan berkenaan, Anwar berkata Malaysia di Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 tampil membawa suara negara-negara Selatan Global yang menuntut sebuah tatanan dunia lebih adil dan saksama.
Beliau turut menegaskan pendirian Malaysia dalam mempertahankan nasib rakyat Palestin serta menolak penjajahan, keganasan dan sikap membisu terhadap kezaliman.
Menurut beliau, pertemuan dua hala bersama Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri India Narendra Modi dan Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin dihormati.
Katanya, hubungan dengan pelbagai kuasa dunia terus dibina berasaskan prinsip, kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
MINAT PELABURAN INDIA
Dalam aspek ekonomi, Anwar berkata keyakinan terhadap Malaysia turut diterjemahkan menerusi minat syarikat-syarikat utama India untuk menjalin kerjasama dalam bidang automotif, kejuruteraan, kecerdasan buatan dan pembuatan termaju.
Beliau berkata usaha tersebut penting bagi membawa masuk pelaburan, mengembangkan bakat tempatan serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.
Di Kerala pula, hubungan sejarah dan peradaban antara Malaysia dan wilayah berkenaan digerakkan ke arah kerjasama ekonomi yang lebih kukuh.
Pertemuan bersama pimpinan negeri serta pemain industri dari India, Malaysia dan negara-negara Teluk turut membuka ruang kerjasama dalam sektor ekonomi digital, kesihatan, pendidikan, pelancongan, logistik dan industri halal.
TEKNOLOGI BERTERASKAN NILAI
Anwar turut menyentuh kunjungan ke Markazu Saquafathi Sunniyya yang memperlihatkan peranan Malaysia dalam wacana ilmu dan pemikiran Islam.
Menurut beliau, perbincangan turut memberi tumpuan kepada keperluan membentuk pendekatan kecerdasan buatan berteraskan nilai supaya teknologi dapat dimanfaatkan tanpa mengorbankan akhlak, kebebasan akal dan nilai kemanusiaan.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan India atas sambutan mesra dan layanan baik sepanjang keberadaan beliau di New Delhi dan Kerala.
Penghargaan turut ditujukan kepada Kedutaan Besar Malaysia di India, anggota delegasi, rakan media serta semua pihak yang membantu menjayakan lawatan berkenaan.
“Terima kasih India. Saya teruskan misi Diplomasi MADANI di Maldives!” kata Anwar.
