Kerjasama PIF-MRCB Cerminkan Keyakinan Pelabur Terhadap Malaysia

PUTRAJAYA, 29 September – Potensi kerjasama antara RUA AlHaram AlMakki, syarikat milik penuh Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi, dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama yang sedang diteroka itu melibatkan pembangunan berorientasikan transit di kawasan Jabal Al Kaabah, Mekah, sekali gus berpotensi membuka peluang baharu kepada syarikat serta tenaga mahir Malaysia.

Beliau berkata RUA merupakan pemaju induk pembangunan King Salman Gate di kota suci berkenaan, manakala PIF merupakan antara dana kekayaan berdaulat terbesar dunia dengan aset di bawah pengurusan melebihi US$900 bilion.

Menurutnya, peranan PIF sebagai pemacu Wawasan 2030 Arab Saudi turut menyediakan ruang luas untuk Malaysia memperkukuh kerjasama ekonomi dalam pelbagai sektor.

Perkara itu dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Gabenor PIF, Yasir Othman Al-Rumayyan bersama delegasi di Putrajaya.

Pertemuan berkenaan turut menyentuh peluang kerjasama dalam sektor pembinaan, infrastruktur, pengurusan kemudahan, tenaga dan ekonomi halal.

Datuk Seri Anwar berkata beliau berharap lebih banyak syarikat Malaysia dapat menembusi pasaran Arab Saudi serta mengambil bahagian dalam projek yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *