KESEJAHTERAAN PSIKOLOGI, KEHARMONIAN KELUARGA TERAS WARGA KERJA SPRM

Putrajaya, 6 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengintegrasikan aspek kesejahteraan psikologi dan keharmonian kekeluargaan sebagai teras utama dalam membentuk warga kerja berprestasi tinggi memerangi jenayah kolar putih.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pembentukan warga kerja profesional dan berintegriti tidak seharusnya meminggirkan aspek kestabilan emosi, kesejahteraan psikologi serta kehidupan peribadi pegawai.

“Dalam usaha membentuk warga kerja yang berintegriti, kita juga perlu memberikan perhatian kepada aspek kesejahteraan psikologi dan kehidupan peribadi mereka.

“Di sebalik ketegasan seorang pegawai penguat kuasa, tersimpan pelbagai cabaran emosi. Di sebalik kesungguhan seorang penyiasat melaksanakan amanah, terdapat tanggungjawab keluarga yang menuntut perhatian. Inilah realiti kehidupan yang perlu kita fahami,” katanya semasa merasmikan Konvensyen Integriti dan Psikologi SPRM (KIPS 5.0) Tahun 2026 di Auditorium Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Datuk Seri Abd Halim berkata, rumah tangga yang harmoni boleh menjadi tempat kita memperoleh ketenangan, mendapat sokongan emosi dan sumber kekuatan untuk menghadapi tekanan kehidupan.

Menurutnya, penganjuran KIPS 5.0 yang bertemakan “Kasih Dipupuk, Cinta Dipelihara, Harmoni Tercipta” turut menjadi platform memperkukuh pembudayaan integriti, kesihatan mental serta mewujudkan persekitaran kerja yang positif dalam kalangan warga SPRM.

“Penganjuran konvensyen seumpama ini dapat membangunkan warga kerja SPRM yang bukan sahaja memiliki kecekapan dan kemahiran profesional malah turut sejahtera dari segi psikologi, kematangan dari segi emosi serta kekuatan nilai dalam menjalankan kehidupan seharian,” katanya.

Beliau turut menyeru warga kerja SPRM supaya mengimbangi kecemerlangan kerjaya dan kebahagiaan rumah tangga berasaskan nilai tanggungjawab, kebijaksanaan, serta persefahaman.

KIPS 5.0 yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini dianjurkan Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM bersempena Bulan Kaunseling Kebangsaan dan Hari Kesihatan Mental Sedunia, dengan penyertaan kira-kira 300 peserta.

Program itu turut diserikan dengan majlis peluncuran KIPS 5.0, sesi bual bicara dan forum yang menampilkan beberapa personaliti termasuk Ustaz Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid, Fadzli Aziz, Dato’ Ustaz Sharhan Shafie, Dr Derrick Chow Chun Hoe, Sabri Yunus dan Dr Fatimah Syarha Ismail serta Hajah Sarina.

Turut diadakan reruai jualan membabitkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Turut hadir Pengerusi PUSPANITA SPRM, Datin Seri Safiah Md Tahir; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya dan isteri, Datin Sri Nurul Hidayah Seah Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Aduan SPRM, Datuk Ruziati binti Mior Ahamad Ariffin; Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM merangkap Ketua Penyelaras KIPS 5.0, KPKPJ Syed Mohamad Tarmizi Said Musa; Pengarah Kanan dan Pengarah-pengarah Bahagian SPRM.

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *