
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Malaysia menyasarkan pembangunan 20 harta intelek (IP) animasi baharu bagi memperluas pasaran karya tempatan ke peringkat antarabangsa.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, negara mempunyai lebih 5,000 animator dan berpotensi menjadi peneraju industri animasi di rantau ini.
Beliau berkata, penyertaan syarikat animasi Malaysia dalam Annecy Film Festival di Perancis baru-baru ini berjaya membawa pulangan pelaburan melebihi RM250 juta.
Menurutnya, industri animasi perlu beralih daripada menyediakan khidmat produksi kepada pembangunan IP sendiri yang mampu bersaing di peringkat global, seperti kejayaan Upin & Ipin di Indonesia.
Platform penstriman dalam talian (OTT) turut membuka peluang lebih luas untuk karya animasi tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Sehubungan itu, sokongan melalui insentif dan pembiayaan penting bagi memperkukuh ekosistem industri kreatif serta meningkatkan daya saing animasi Malaysia di peringkat dunia.
